Pengendali Napoli, Carlo Ancelotti, gembira dengan kemenangan saat-saat akhir pasukannya ke atas Liverpool.

Lorenzo Insigne muncul wira pasukan sebaik menyumbat gol kemenangan Napoli pada minit ke-90 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Liverpool yang juga naib juara edisi lalu, jelas tidak berada di tahap terbaik dalam aksi kedua Kumpulan C itu. Mereka tewas kepada Napoli yang hanya terikat seri tanpa jaringan dengan Red Star Belgrade dalam perlawanan pertama.

Sorakan Ancelloti selepas perlawanan jelas menunjukkan betapa dia gembira menundukkan gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

"Pasukan kami beraksi dengan baik sepanjang perlawanan. Kami tidak pernah hilang penguasaan dan sentiasa berwaspada dalam bertahan sehingga mereka tidak dapat melakukan apa-apa," ujar Ancelotti kepada Sky Italia.

"Kami mungkin memperoleh jaringan lebih awal, namun ia tiba pada masa yang tepat. Jika Mertens berjaya menjaringkan gol beberapa minit sebelum itu, kami mungkin lebih tertekan.

"Ia memberikan makna yang besar buat kami apabila menundukkan finalis musim lalu.

"Ia penting untuk keyakinan pemain. Perlawanan ini memerlukan fokus yang tinggi. Saya gusar tetapi saya arahkan mereka untuk menikmati perlawanan dan ia berkesan.

"Kami menunjukkan saingan kumpulan ini bukan hanya sukar buat Napoli tetapi juga kepada semua pasukan yang terlibat.

"Selepas kekecewaan dalam perlawanan pertama, kejayaan ini dapat menyuntik kembali keyakinan kami, namun perjalanan kami masih jauh," tambah Ancelotti dalam sidang media pasca perlawanan tersebut.

Jaringan tersebut merupakan detik penuh makna buat peminat tempatan sebaik Insigne menyudahkan hantaran rendah Jose Callejon yang menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson.

"Kemenangan ini amat menakjubkan. Kami bermain dengan baik sebagai satu pasukan dan menginginkan kemenangan," kata Insigne dalam sidang media tersebut.

"Kini, kami menikmati kemenangan ini buat sementara sebelum perlu kembali fokus kepada satu lagi aksi mencabar berdepan Sassuolo," tambahnya.