BAYERN MUNICH 3 AUGSBURG 1

Carlo Ancelotti menghamburkan pujian terhadap motivasi yang dimiliki pasukan kendaliannya, Bayern Munich, yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Augsburg dalam saingan DFB-Pokal, awal pagi tadi.


Phillip Lahm terlebih dahulu membuka tirai gol perlawanan di Allianz Arena sebelum Julian Green mencetak namanya selaku penjaring buat julung kalinya bersama Bayern untuk meletakkan tuan rumah di hadapan pada separuh masa pertama.

Biarpun kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan sepakan penalti -- Augsburg cuba merapatkan jurang menerusi Ji Dong-won sebelum David Alaba menambah gol pada masa kecederaan untuk Bayern -- Ancelotti percaya skuadnya tidak pernah kehilangan penguasaan.

"Permainan berlangsung terbuka sehingga tamat permainan," kata pengurus dari Itali itu.

"Kami gagal 'membunuh' permainan lebih awal, namun kami menguasai sebahagian besar permainan.

"Pada babak pertama, kami bermain cukup baik dengan diperkuatkan skuad mantap, dengan pemain yang cergas yang mahu beraksi dan meraih kemenangan, semua orang bermotivasi tinggi."

Pertembungan itu menjadi detik istimewa buat Holger Badstuber yang membuat kemunculan pada minit ke-81 -- penampilan pertamanya musim ini sejak sekian kali ditimpa kecederaan dan Ancelotti berasa senang hati dengan kehadiran semula pertahanan tersebut.

"Kesemua pemain bermain dengan baik tapi saya gembira dengan Holger Badstuber. Ini penting untuk dia kerana dia merupakan tonggak penting dalam pasukan ini."