Ancelotti puji respons Balotelli hadapi isu perkauman

Oleh Staff Writer 5 November 2019 231
Ancelotti puji respons Balotelli hadapi isu perkauman
Pengurus Napoli, Carlo Ancelotti, memuji reaksi Mario Balotelli terhadap ejekan perkauman yang dihadapi pemain itu ketika Brescia menentang Hellos Verona dalam Serie A semalam.

Ballotelli dengan penuh kemarahan menendang bola ke arah penyokong Verona pada awal babak kedua selepas mendengar ejekan perkauman sebelum mengugut untuk meninggalkan padang di stadium Marcantonio Bentegodi itu.

Pengadil menghentikan seketika perlawanan itu sebelum satu pengumuman dibacakan kepada penyokong sebagai usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Ballotelli kemudian dipujuk oleh rakan sepasukannya dan pemain Verona untuk kekal beraksi sebelum bekas pemain Inter Milan dan Manchester City itu meneruskan perlawanan untuk menghasilkan satu jaringan gemilang biarpun pasukannya tewas 1-2.

Ancelotti percaya Balotelli bertindak tepat untuk menentang ejekan itu dan berasakan tindakan menghentikan permainan itu menunjukkan bola sepak sudah semakin berkembang dalam memerangi isu perkauman.

Bercakap menjelang perlawanan Napoli dengan RB Salzburg dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, Ancelotti berkata: "Dia melakukan perkara yang betul, dia memberikan reaksi yang tepat.

"Sudah terjadi beberapa insiden sebelum perlawanan dihentikan, jadi kita sedang berada di landasan yang tepat," katanya.

Napoli kendalian Ancelotti sedang mendahului Kumpulan E dan akan layak ke pusingan berikutnya jika menewaskan Salzburg manakala Genk gagal mengatasi Liverpool dalam satu lagi perlawanan.

Bekas pengurus AC Milan itu berkata tidak mustahil untuk pasukannya layak ketika masih berbaki dua perlawanan, namun pengurus berpengalaman itu enggan terbawa-bawa dengannya.

"Liga Juara-Juara lebih pendek berbanding Serie A.

"Disebabkan itu, kami perlu fokus dan sasaran pertama kami adalah untuk meloloskan diri.

"Jika kami layak ketika masih berbaki dua perlawanan, ia bukan sesuatu yang mustahil.

"Kami memiliki peluang itu esok dan kesemua tenaga kami akan digunakan untuk meraihnya.

"Selepas itu, barulah kita akan lihat.

"Banyak perkara boleh berubah, terutama dalam Liga Juara-Juara yang ditentukan oleh perincian yang kecil," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen