Ancelotti: Perjalanan ke Atalanta lebih sukar daripada ke Liverpool

Oleh Penulis Jemputan 29 November 2018 971
Ancelotti: Perjalanan ke Atalanta lebih sukar daripada ke Liverpool
NAPOLI 3 RED STAR BELGRADE 1

Carlo Ancelotti menyatakan perjalanan Napoli ke Atalanta akan "lebih sukar" daripada perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Liverpool.


Napoli menewaskan Red Star Belgrade 3-1 di Stadio San Paolo, semalam, untuk mendahului Kumpulan C menjelang pertembungan terakhir dengan The Reds di Anfield sementara pasukan di tangga kedua, Paris Saint-Germain (PSG), akan berdepan kelab dari Serbia itu. 

Mengelakkan kekalahan kepada skuad kendalian Jurgen Klopp itu -- yang belum tewas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) -- akan membolehkan mereka untuk layak, namun kelab Itali itu masih boleh tergelincir ke Liga Europa.

Ancelotti, bagaimanapun, yakin pasukannya akan dapat menyempurnakan misi mereka dan mempunyai kebimbangan yang lebih mendesak menjelang aksi Serie A seterusnya menentang Atalanta.

"Kami harus pergi ke sana dengan keberanian dan bermain," kata Ancelotti mengenai perjalanan ke Merseyside.

"Ketika ini, fikiran kami tertumpu kepada Bergamo, ia lebih sukar daripada Liverpool," ujarnya.

Jaringan sulung Marek Hamsik musim ini mengubah rentak permainan ketika permainan baru berusia 11 minit dan gol daripada Dries Mertens meletakkan mereka selesa 3-0 di hadapan dalam tempoh 52 minit.

Pelawat memberi tentangan dalam babak kedua dengan menyumbat jaringan melalui El Fardou Ben, begitupun Ancelotti tidak peduli dengan corak persembahan anak buahnya dalam babak pertama biarpun goyah dalam setengah jam terakhir. 

"Saya berpuas hati," katanya. "Kami bermain dengan intensiti hebat selama 60 minit, maka terdapat penurunan tahap fisiologi yang tidak dapat dielakkan.

"Jaringan Red Star boleh dielakkan dengan serta-merta. Tetapi, perkiraan mata akan ditolak tepi apabila kami ke Liverpool nanti. 

"Kami telah menunjukkan kualiti kami, kami mempunyai kelebihan yang membuat kami bangga. Kami mengetuai kumpulan yang paling sukar dalam UCL," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen