Ancelotti lega Napoli peroleh kelebihan tipis

Oleh Penulis Jemputan 7 November 2018 108
Ancelotti lega Napoli peroleh kelebihan tipis
NAPOLI 1 PARIS SAINT-GERMAIN 1

Pengurus Napoli, Carlo Ancelotti, lega pasukannya itu kekal menerajui Kumpulan C selepas terikat 1-1 dengan Paris Sant-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Wakil Serie A itu ketinggalan sewaktu penghujung separuh masa pertama, namun bangkit mengikat kedudukan menerusi jaringan Lorenzo Insigne pada minit ke-62 yang memastikan mereka meraih mata kedua daripada dua perlawanan menentang gergasi Perancis itu.

Keputusan tersebut memastikan Napoli di kedudukan teratas kumpulan dengan mengatasi Liverpool -- yang tewas 0-2 kepada Red Star Belgrade -- menerusi rekod pertemuan selepas terikat enam mata.

Skuad kendalian Ancelotti itu turut mempunyai kelebihan gol laman lawan yang mengatasi PSG dan kemenangan ke atas Red Star selepas ini akan memastikan kemaraan mereka ke pusingan 16.

"Saya sangat gembira. Kami mempunyai kelebihan tipis ke atas salah satu pasukan terbaik Eropah," kata Ancelotti kepada wartawan.

"Secara jujurnya, kami tidak menyangka Liverpool akan tewas di Belgrade dan ia memudahkan laluan kami.

"Percaturan kami adalah untuk mengekang Neymar dan Angel Di Maria dan ia berjaya.

"Mereka menguasai permainan dan keputusan ini mungkin akan menjadi lebih teruk buat kami," tambahnya.

PSG selepas ini akan bertemu Liverpool di gelanggang sendiri dan keputusan perlawanan itu akan menentukan masa depan kedua-dua pasukan.

Walaupun gagal mengekalkan pendahuluan menerusi jaringan Juan Benrnat dalam separuh masa pertama, pengurus pasukan, Thomas Tuchel, tetap berpuas hati dengan peningkatan dipamerkan pasukannya itu.

"Pasukan saya telah memaparkan aksi positif.

"Itu menunjukkan kami sudah bersedia untuk beraksi di tahap ini.

"Ia perkara normal untuk tertekan dalam separuh masa kedua ketika kami sedang mendahului.

"Mereka mengambil risiko besar melakukan serangan dan berjaya.

"Kami sepatutnya lebih berani untuk menyerang dalam babak kedua," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen