BAYERN MUNICH 1 ATLETICO MADRID 0

Carlo Ancelotti berharap kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara akan memberikan Bayern Munich keyakinan kerana mereka menghampiri cuti pertengahan musim.


Bayern sedikit bergelut untuk mengekalkan aksi konsisten di bawah kendalian jurulatih Itali itu bagi musim 2016-17 dan terpaksa berpuas hati untuk berada di kedudukan kedua Kumpulan D, kejohanan kelab elit UEFA, di belakang Atletico.

Mereka juga berada di kedudukan kedua dalam Bundesliga, tiga mata di belakang pendahulu, RB Leipzig.

Beraksi dalam perlawanan yang tidak boleh menukar sebarang kedudukan dalam kumpulan dengan finalis musim lalu di Allianz Arena pagi tadi, Ancelotti bagaimanapun lega kerana mendapat keputusan yang positif ketika menentang skuad Diego Simeone di laman sendiri.

"Kami bermain dengan baik, kami berjaya menguasai bola dan menyekat serangan balas," katanya.

"Kami bertahan dengan baik dalam perlawanan ini. Keputusan tidak begitu penting tetapi ia memberikan keyakinan untuk aksi yang akan datang," tambahnya yang bakal menentang Wolfsburg untuk aksi liga pada Sabtu.

Pemain pertahanan, Mat Hummels, berpuas hati dengan cara Bayern menutup peluang pasukan lawan selepas rehat.

"Kami hanya memberikan mereka satu peluang keemasan pada awal permainan tetapi tidak untuk aksi seterusnya," katanya ketika merujuk kepada peluang awal yang dimiliki Yannick Carrasco.

"Kami melakukan kerja yang baik, perkara yang paling penting adalah kami bertahan dengan baik (pada perlawanan ini)."