BAYERN MUNICH 4 PSV 1

Pengendali Bayern Munich, Carlo Ancelotti, mahu pasukannya meneruskan kecemerlangan selepas menyaksikan anak buahnya melakar kemenangan 4-1 ke atas PSV di Allianz Arena dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.


Thomas Muller dan Joshua Kimmich meletakkan pasukan tuan rumah mendahului 2-0 sebelum Luciano Narsingh merapatkan jurang di hujung babak pertama.

Robert Lewandowski kembali meletakkan Bayern selesa di depan pada minit ke-59 sebelum Arjen Robben menyumbang gol keempat perlawanan berdepan bekas pasukannya.

Pemain antarbangsa Belanda itu menampilkan aksi mantap di hadapan penyokong sendiri apabila turut menyumbang dua bantuan jaringan.

Keputusan itu menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan buat anak buah Ancelotti dan beliau berharap pasukannya masih mampu mengejar Atletico Madrid, yang mendahului Kumpulan D selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Rostov.

"Kami bermain dengan baik -- saya menjangkakan kemenangan ini," katanya.

"Pemain beraksi dengan mantap meskipun bergelut pada hujung babak pertama.

"Selepas bermain baik dalam tempoh 30 minit pertama, perlawanan mula terbuka. Kami tidak bermain dengan 100 peratus kesungguhan dan ketika itulah kami dihukum dengan jaringan cantik pasukan pelawat.

"Kami perlu berada di tahap terbaik dalam perlawanan seterusnya jika mahu merampas kedudukan pendahulu daripada Atletico."

Sementara itu, Robben menerima sanjungan daripada penyokong kedua-dua pasukan apabila dia dikeluarkan tiga minit sebelum perlawanan berakhir.

"Kami memulakan perlawanan dengan baik," katanya. "Kami mendominasi pihak lawan dan hasilnya kami meledak dua gol pada babak pertama.

"Walaupun kehilangan bola pada babak pertama sehingga menjurus kepada gol oleh pihak lawan, kami kembali memperkemaskan permainan pada babak kedua."

Pengendali PSV, Philip Cocu, mengakui kegagalan mengekang pergerakan Robben menjadi punca tewas.

"Dia mampu menghadirkan kelainan dalam setiap perlawanan," katanya. "Dia pemain bertaraf dunia. Saya gembira dia sudah pulih daripada kecederaan."