Ancelotti dilucutkan jawatan pengurus Bayern

Oleh Penulis Jemputan 29 September 2017 4303
Ancelotti dilucutkan jawatan pengurus Bayern
Carlo Ancelotti telah dipecat sebagai pengurus Bayern Munich selepas memegang jawatan tersebut selama setahun, susulan kekalahan 0-3 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dia yang berjaya mengekalkan kejuaraan Bundesliga bersama Bayern pada musim lalu mengalami kesukaran bagi saingan 2017/18 selepas tewas 0-2 di tangan Hoffenheim sebelum diikat 2-2 di laman sendiri oleh Wolfsburg meskipun mendahului 2-0 dalam babak pertama perlawanan.

Bagaimanapun, kekalahan di Paris terpaksa dibayar dengan harga yang mahal selepas pihak pengurusan bersetuju untuk menamatkan kontraknya dan bagi ketua pegawai eksekutif kelab, Karl-Heinz Rummenigge, prestasi tersebut tidak boleh diterima oleh pasukan.

“Apa yang anda saksikan pada hari ini bukan Bayern Munich yang sebenar,” ujar Rummenigge dalam sidang media pengumuman pemecatan tersebut.

“Saya rasa anda bersetuju dengan kenyataan tersebut. Melihat pada wajah semua yang ada di sini, saya tidak dapat melihat sesiapa yang tidak memahaminya.”

Antara faktor utama Ancelotti dipecat adalah kegagalannya mendapatkan tempat buat pemain utama yang juga watak utama pasukan, Thomas Muller, untuk diserapkan ke dalam sistem yang digunakan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan media tempatan serta penyokong Bayern.

Pembantunya, Willy Sagnol, akan memangku jawatan tersebut menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh bekas pengurus Real Madrid, PSG dan AC Milan itu.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen