Fabio Capello percaya Carlo Ancelotti boleh menyempurnakan kariernya dengan mengambil alih skuad kebangsaan Itali.

Harapan untuk menyaksikan Gian Piero Ventura kekal sebagai ketua jurulatih The Azzuri semakin tipis selepas mereka tewas 1-0 dalam aksi pertama play-off kelayakan Piala Dunia kepada Sweden.

Gagal untuk mendapatkan keputusan yang dingini di San Siro akan menyaksikan Itali gagal layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

Dengan memiliki pengalaman mengendalikan England dan Russia, Capello menolak cadangan untuk beliau mengendalikan pasukan negara kelahirannya, sebaliknya menyifatkan Ancelotti sebagai pilihan terbaik.

"Saya telah melakukan tugasan saya untuk aksi antarabangsa," kata Capello.

"Ancelotti pada usia yang sangat baik, memiliki pengalaman dan hanya tinggal mengendalikan pasukan antarabangsa untuk menyempurnakan kariernya," katanya.

Ancelotti, yang merangkul gelaran Liga Juara-Juara (UCL) sebanyak tiga kali, telah dipecat oleh Bayern Munich pada September lalu selepas juara Bundesliga itu tewas 3-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG).