Pengendali Bayern Munich, Carlo Ancelotti, menyifatkan kecederaan yang berlaku terhadap penjaga gol, Manuel Neuer, bukan disebabkan oleh jurulatih kecergasan, Giovanni Mauri.

Penjaga gol Jerman itu terpaksa melalui proses pembedahan selepas mengalami patah tulang metatarsal kiri dan dijangka tidak akan beraksi sehingga Januari.

Ia adalah kecederaan sama yang dialami Neuer ketika suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu menentang Real Madrid.

Presiden kelab, Uli Hoeness, dilaporkan tidak gembira dengan hasil kerja pihak perubatan pasukan dengan mengatakan bahawa mereka membenarkan Neuer beraksi terlalu awal, namun ia disangkal oleh Ancelotti.

"Apabila Neuer kembali beraksi, kami menyangka ia adalah waktu yang terbaik. Agak malang, kini dia terpaksa disisihkan selama tiga bulan.

"Individu yang tidak terlibat dalam permainan adalah Mauri. Jadi, tidak adil untuk menyalahkannya. Bukan dia sahaja yang bertanggungjawab di atas keadaan Neuer.

"Bagi saya, Mauri adalah jurulatih kecergasan yang terbaik di dunia."

Dalam masa sama, Ancelotti turut mengesahkan pemain tengah, Thiago Alcantara, akan terlepas aksi liga menentang Wolfburg hari ini, sama seperti Neuer, David Alaba dan Juan Bernat.

"Kesemua mereka tidak boleh beraksi tetapi Arjen Robben berada dalam keadaan terbaik untuk bermain."