BAYERN MUNICH 5 WOLFSBURG 0

Carlo Ancelotti gembira selepas menyaksikan Thomas Muller meledak gol pertamanya dalam saingan Bundesliga ketika membantu Bayern Munich kembali ke takhta liga, semalam.


Muller mengharungi musim yang sukar tetapi berjaya menjaringkan gol selepas tempoh 999 minit ketika Bayern membelasah Wolfsburg 5-0.

"Kami mempamerkan persembahan yang baik," ujar Ancelotti.

"Kami mengawal permainan selepas gol yang pertama, tuah juga memihak kepada kami dalam perlawanan ini.

"Saya sangat gembira untuk Muller. Dia selalu memberikan yang terbaik di atas padan, walaupun tidak menjaringkan gol.

"Jaringan itu sangat penting buatnya tetapi saya menilai prestasinya bukan hanya melalui jaringan gol. Dia bekerja keras untuk pasukan."

Muller berkata Bayern perlu memberikan fokus jika mahu kekal sebagai pendahulu liga apabila menyaksikan RB Leipzig tewas kepada Ingolstadt yang beraksi dengan 10 pemain.

"Kami telah bermain dengan baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Kami perlu memberikan yang terbaik dalam dua perlawanan akan datang sebelum tiba Hari Natal," kata Muller.