Amri Yahyah pada dasarnya telah bersetuju untuk mewakili Melaka United pada musim hadapan.

Timbalan Presiden Melaka United Football Club (MUFC), Datuk Yusoff Mahadi, mengesahkan Amri telah pun memberi kata putus petang semalam sempena Persidangan Visi Dan Misi Untuk Masa Depan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di Hatten Hotel, Melaka

Yusoff turut mengatakan Melaka United mempunyai penaja yang sanggup membawa masuk Amri yang dikhabarkan bernilai RM80,000, dengan skuad Hang Tuah itu membayar separuh dari nilai bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Dalam perkembangan lain, Yusoff masih menunggu keputusan pemain sayap, R. Gopinathan, yang dikatakan masih mempunyai kontrak bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Menurut Yusoff, Melaka United masih berbelanja mengikut kemampuan walaupun dengan kehadiran pemain bernilai tinggi seperti Amri tetapi kesanggupan pihak penaja bagai satu bonus buat pendatang baru Liga Super itu.