Kapten skuad negara, Amri Yahyah, mahu rakan sepasukannya mengambil pendekatan berwaspada apabila berdepan musuh tradisi, Singapura.

Bagi Amri, berdepan Singapura di laman mereka pasti bukan tugasan yang mudah buat barisan negara.

Kerana itu, Amri berharap rakan sepasukan, khususnya muka-muka baru di dalam skuad negara, akan terus kekal berwaspada dengan ancaman lawan sepanjang 90 minit perlawanan.

"Kami mengetahui bahawa pasukan Singapura pernah beraksi menentang pasukan Jepun dan mereka tidak tewas di Jepun.

"Jadi, kami perlu berhati-hati ketika berdepan Singapura, dan saya berharap semua pemain Malaysia memberikan komitmen yang tinggi untuk perlawanan esok.

"Saya telah menyarankan kepada rakan sepasukan, kami perlu bersabar kerana pemain muda dilihat terlalu bersemangat untuk bermain dan berharap esok, rakan-rakan bakal memberikan sesuatu buat pasukan kebangsaan serta kami bakal pulang bersama kejayaan," jelas Amri.

Dalam pada itu, tonggak tengah Singapura, Harris Harun, mengakui dia dan rakan sepasukannya mahu menebus kembali kekalahan 3-1 kepada Malaysia dalam aksi peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2014.

Bagi Harris, barisan Singapura kini lebih matang berbanding dua tahun lalu.

"Kekalahan lalu cukup mengecewakan tetapi ia sesuatu yang bagus untuk kami belajar daripada kekalahan tersebut.

"Saya berasakan bahawa kini kami telah bersedia sepenuhnya dengan kehadiran beberapa pemain senior di dalam pasukan.

"Kami bertekad untuk mengawal perlawanan dengan sebaik mungkin esok dan mengharapkan untuk memperoleh keputusan yang positif," ujar Harris.