Ketiadaan S. Kunanlan dijangka membuka ruang buat pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan, mengisi posisi bek kanan dalam pertemuan menentang Korea Utara malam ini, sekali gus menjadi penampilan antarabangsa pertamanya.

Pemain berusia 24 tahun itu masih belum ada sebarang penampilan antarabangsa walaupun dipanggil menyertai skuad kebangsaan semasa pertemuan dengan Hong Kong, bulan lalu.

Jujur ada perasaan gementar, pemain berasal dari Ipoh ini berazam tidak mahu melakukan sebarang kesilapan bagi memastikan kubu negara tidak mudah roboh seperti perlawanan pada Jumaat lalu.

“Setiap pemain mahu beraksi dalam skuad kebangsaan untuk mengetengahkan kebolehan. Perasaan gementar tetap ada, tetapi jika sudah mula menyesuaikan diri dengan permainan, ia akan menjadi mudah,” katanya.

Sementara itu, Amirul sependapat dengan jurulatih, Nelo Vingada, mengenai corak permainan Korea Utara lebih pantas berbanding Harimau Malaya.

Situasi itu membuatkan pemain tiada pilihan lain kecuali beraksi lebih 100 peratus jika mahu menandingi kekuatan yang dimiliki skuad kendalian Jorn Andersen itu.

“Korea Utara memiliki permainan yang pantas. Kami sebagai pemain akan mengikut setiap percaturan yang telah ditetapkan oleh Vingada. Kami berharap dapat mengakhiri tahun ini dengan keputusan yang positif,” katanya lagi.