Amirudin Shari mengulangi pendirian untuk tidak mengekalkan jawatannya sebagai pengurus Selangor bagi musim 2017 walaupun optimis masalah dalaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mampu terlerai selepas pertemuan presiden persatuan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bersama timbalannya, Datuk Mokhtar Ahmad, Khamis lalu.

Bagi Amirudin, kelibatnya sebagai pengurus dari musim 2014 hingga musim lalu hanya sementara dan kini berasa adalah waktu sesuai buatnya memberikan laluan kepada calon lain untuk tugas itu.

Di bawah pengurusan Amirudin, Selangor yang dilatih Mehmet Durakovic ketika itu muncul naib juara Liga Super 2014, juara Piala Malaysia 2015 dan naib juara musim lalu di bawah kendalian pemangku jurulatih, K. Gunalan.

"Saya fikir ada baiknya mereka mencari individu lain dan melaksanakan perubahan. Yang paling baiknya ini adalah satu peluang untuk memperbetulkan kesilapan walaupun ada krisis dan melangkah dengan lebih baik untukmasa akan datang," katanya.

Amirudin turut mengakui penswastaan pentadbiran FAS adalah antara perkara yang dibincangkan Azmin bersama Mokhtar, Khamis lalu.

Jelasnya, perubahan yang ingin dibawa Azmin sebenarnya selaras dengan dasar penswastaan pasukan yang ingin diterapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

"FAM sendiri mensyaratkan, pada 2018 pasukan perlu diswastakan sepenuhnya. Ia bertitik tolakkan perkara tersebut dan beliau (Azmin) melihat perlu ada sedikit perubahan yang lebih segar dalam kepimpinan di samping ada tindakan-tindakan susulan," tambahnya.

Pencapaian Selangor di bawah pengurusan Amirudin Shari:

Juara Piala Malaysia 2015
Naib Juara Piala Malaysia 2016
Naib Juara Piala Sumbangsih 2016
Naib juara Liga Super 2014 & 2015