Bekas pertahanan Harimau Malaya, Amirizdwan Taj, bersara sebagai pemain bola sepak pada usia 35 tahun selepas lebih sedekad menabur bakti dalam kancah Liga Malaysia.

Dia yang beraksi bersama Kelantan United musim lalu akan menceburi bidang kejurulatihan apabila dilantik sebagai penolong jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

"Mengikut perancangan, saya mahu terus beraksi setahun lagi namun kepercayaan terhadap kemampuan pemain senior makin tahun makin berkurang dan kebetulan pihak AMD membuka jawatan untuk mendapatkan khidmat penolong jurulatih jadi saya mengambil keputusan untuk bersara," kata Amirizdwan.

"Saya seorang yang sangat dekat dengan bola sepak dan berbekalkan ilmu dalam bidang sains sukan, saya berasakan beralih kepada jurulatih adalah langkah terbaik.

"Saya tidak meletakkan sasaran yang terlalu cepat untuk menjadi jurulatih yang berkualiti kerana saya mahu mendalami bidang kejurulatihan dan mengetepikan pencapaian sebagai pemain sebelum ini kerana ia adalah bidang yang berbeza."