Amiridzwan lega kembali ke prestasi asal

Oleh Penulis Jemputan 18 Januari 2018 2530
Amiridzwan lega kembali ke prestasi asal
Pertahanan Kelantan, Amiridzwan Taj Tajuddin, tampak kembali ke tahap terbaiknya menjelang saingan Liga Malaysia 2018 apabila memainkan peranan penting dalam menjana kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Persija Jakarta dalam aksi Piala Super Sportfix di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Bagi bekas pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu yang melalui dua musim yang kurang baik sebelum ini, dia bertekad bangkit bersama Kelantan bagi musim 2018.

Dalam masa sama, dia mengakui tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri bersama Kelantan kerana beberapa tonggak senior seperti Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Badhri Mohd Radzi yang bersama dengannya ketika di Kelantan pada 2015 masih bersama pasukan.

“Buat masa ini, keserasian saya bersama Cassio de Jesus semakin baik. Jika masih diberikan kepercayaan untuk berganding bersamanya, saya akan cuba mengekalkan rentak permainan.

“Saya pernah beraksi bersama Khairul Fahmi pada tahun 2015 untuk pasukan Kelantan serta skuad kebangsaan, jadi bagi saya tidak menjadi satu masalah,” katanya.

Sementara itu, penyerang veteran Persija, Bambang Pamungkas, menyifatkan Kelantan sebagai skuad ampuh untuk menghadapi saingan Liga Super, musim ini.

Walaupun kecewa dengan kekalahan pasukannya, Bambang menyifatkan aksi dalam saingan jemputan Piala Super menjadi persiapan terbaik pasukannya untuk mengharungi Piala AFC dan Liga Satu Indonesia, musim ini.

“Perlawanan menentang Kelantan adalah aksi yang baik. Ia boleh menjadi persiapan yang berguna buat pasukan untuk menghadapi Liga Satu serta Piala AFC.

“Jurulatih juga memberikan peluang kepada semua pemain untuk beraksi,” ujar Bambang.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen