Alves sedia terima Sanchez

Oleh Penulis Jemputan 12 Oktober 2017 6667
Alves sedia terima Sanchez
Pertahanan Brazil, Dani Alves, mengalu-alukan kedatangan pemain sayap Arsenal, Alexis Sanchez, ke Paris Saint-Germain (PSG) selepas membantu Brazil menamatkan impian Sanchez dan Chile untuk ke Piala Dunia 2018.

Dua gol daripada Gabriel Jesus dan satu jaringan Paulinho memberikan kemenangan 3-0 buat Brazil di Sao Paulo, sekaligus meletakkan Chile di tangga keenam pusingan kelayakan zon Amerika Selatan dan menafikan peluang lawan untuk meraih tiket play-off menentang New Zealand.

Sebelum ini, masa depan Sanchez bersama Arsenal menjadi persoalan selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu.

PSG turut menjadi salah satu destinasi buat pemain berusia 28 tahun itu, namun tindakan kelab Paris itu mendapatkan Neymar dan Kylian Mbappe telah menghalang sebarang usaha untuk mendapatkannya.

Bagaimanapun, Alves gembira untuk melihat bekas rakan sepasukannya ketika di Barca itu menyertai skuad kendalian Unai Emery.

"Sentiasa sukar untuk berhadapan pemain seperti Sanchez (ketika aksi Brazil bertemu Chile) dengan berbekalkan kualiti yang dimilikinya tetapi kami berjaya mengawal permainan dan menjalankan tugas dengan baik," kata Alves.

Apabila ditanya mengenai kebarangkalian Sanchez untuk menyertai PSG, Alves tidak menolak perkara tersebut.

"Pintu sentiasa terbuka untuknya tetapi terdapat beberapa pasukan yang mahukan khidmatnya.

"Saya mahu dia gembira ke mana sahaja dia pergi tetapi jika bersama kami, lebih bagus," tambahnya.

PSG bakal bertandang ke Dijon bagi menyambung aksi Ligue 1, Sabtu ini.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen