Juventus telah mengumumkan bek kanan, Dani Alves, mengalami kecederaan patah kaki selepas tewas 3-1 kepada Genoa dalam aksi Serie A pada Ahad.

Bekas pertahanan Barcelona itu terpaksa diusung keluar selepas 14 minit perlawanan di Stadio Luigi Ferraris selepas berlaku pelanggaran di antaranya dan Lucas Ocampos.

Ujian mendedahkan Alves mengalami kecederaan patah kaki kiri dan dijangka terpaksa berehat panjang.

Namun, Alves memberitahu melalui laman sosialnya bahawa kecederaannya tidak terlalu serius, malah akan kembali beraksi secepat mungkin selepas pulih sepenuhnya.

"Terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh anda semua, kecederaan sebegini tidak dapat dielak dalam sukan bola sepak," katanya melalui Instagram.

"Saya mahu menjelaskan kepada semua rakan-rakan dan ahli keluarga saya bahawa kecederaan yang dialami tidak begitu teruk seperti yang dilaporkan di internet.

"Saya akan kembali, saya mendedikasikan hidup saya untuk bermain bola sepak dan meraih banyak lagi kejayaan bersama kelab dan peringkat antarabangsa."

Alves telah membuat lapan penampilan Serie A musim ini, dengan menjaringkan satu gol buat The Old Lady.