Pertahanan Brazil, Dani Alves, menasihatkan pasukannya supaya tidak menggeruni Lionel Messi untuk aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan berdepan Argentina.

Brazil kini berada di tempat pertama peringkat kumpulan selepas tewas dalam satu perlawanan manakala Argentina menduduki tangga keenam.

Berdepan bekas rakan sepasukan di Barcelona, Messi, pertahanan Juventus, Alves berkata Brazil perlu mengelak daripada menggeruni kelibat penyerang itu.

"Ketakutan tidak wujud dalam bola sepak. Ia merupakan saling hormat-menghormati," kata Alves dalam satu sidang media.

"Kami menghormati Messi kerana dia merupakan seorang pemain yang bagus, tidak terlupa kepada seluruh pasukan Argentina.

"Jadi, kami mengharapkan satu perlawanan yang sangat baik dan meneruskan peningkatkan kami dalam saingan kelayakan ini."