Andre Villas-Boas menyatakan kebimbangannya terhadap Alvaro Gonzalez dan keluarganya selepas menerima ugutan termasuk ancaman bunuh berikutan kemenangan Marseille di Paris Saint-Germain (PSG), kelmarin.

Pertahanan Sepanyol itu terlibat dalam kekecohan pertemuan "Le Classique' itu, apatah lagi Neymar dibuang padang kerana memukul bahagian belakang kepalanya yang menyaksikan lima pemain dilayangkan kad merah dalam masa kecederaan.

Bintang Brazil itu -- menggunakan Twitter -- mendakwa dia menjadi sasaran ejekan perkauman dan menyesal kerana tidak memukul lawannya tersebut.

Marseille mempertahankan barisan pemain mereka sambil menegaskan bahawa pertahanan itu tidak bersifat perkauman dan menekankan dia menerima sokongan daripada rakan sepasukan, malah Alvaro menafikan membuat penghinaan tersebut.

Kelmarin, kelab dari selatan itu menjelaskan bahawa kebocoran maklumat nombor telefon peribadi milik Alvaro dan saudara-maranya telah mencetuskan "gangguan berterusan termasuk ancaman bunuh".

Bercakap dalam sidang media semalam, pengurus Portugis itu berkata: "Ancaman bunuh itu adalah berita benar. Kami telah membuat laporan polis.

"Inilah adalah akibatnya daripada tuduhan itu. Saya harap ia akan segera berakhir."

Kedua-dua pemain itu saling berbalas mesej di Twitter selepas perlawanan terbabit dengan Neymar memberitahu Alvaro bahawa dia tidak langsung menghormatinya.



Lantaran itu, Villas-Boas menuntut Neymar supaya menarik balik tuduhannya tersebut sambil tetap dengan pendirian awalnya.

Pengurus Marseille itu mendesak bekas tonggak Barcelona berkenaan agar memikirkan kesan tuduhannya terhadap Alvaro.

"Kami yakin bahawa Alvaro tidak bersikap perkauman," katanya lagi dipetik daripada L'Equipe.

"OM mewakili pelbagai budaya. Saya fikir bahawa kami akan saling membantu untuk mencari kebenarannya.

"Ini situasi yang tidak baik buat Alvaro. Ia adalah subjek yang sensitif. OM dan PSG akan membantu menegakkan kebenarannya."