Jorge Almiron tidak akan menjadi jurulatih Las Palmas yang baru selepas kelab LaLiga itu disekat daripada melantik pengurus dari Argentina berkenaan.

Selepas Paco Jemez menolak peluang untuk mengisi kekosongan itu susulan pemecatan Pako Ayestaran, bekas jurulatih Lanus, Almiron, telah dihubungi mengenai kekosongan itu.

Begitupun, Las Palmas semalam mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kejurulatihan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) telah menghalang pelantikan Almiron.

Las Palmas berkata RFEF telah menyekat Almiron kerana "tidak memenuhi syarat minimum untuk dilantik sebagai ketua jurulatih kelab kategori kebangsaan di Sepanyol".

Almiron dijangka mengambil alih kelab Gran Canaria itu selepas meninggalkan kelab Argentina, Lanus, berikutan kekalahan 3-1 secara agregat kepada wakil Brazil, Gremio, dalam final Copa Libertadores bulan lalu.

Las Palmas mengesahkan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan RFEF itu -- ini kerana Almiron gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, iaitu lima tahun pengalaman melatih di Eropah -- untuk mengambil alih.

"Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Jorge Almiron atas kesediaannya untuk memimpin pasukan dalam detik sukar dan kami ingin mengucapkan semoga lebih berjaya dalam karier profesionalnya," kata Las Palmas.

Las Palmas memecat Ayestaran bulan lalu berikutan kekalahan 3-2 kepada Deportivo La Coruna di tempat sendiri dalam Copa del Rey, namun pasukan itu lolos secara agregat.

Dalam karier singkatnya bersama Las Palmas, bekas pengurus pelatih Valencia itu telah mengetuai Las Palmas dalam tujuh kekalahan dalam sembilan perlawanan.