Dele Alli telah belajar daripada pengajarannya apabila 'adil' digantung satu perlawanan akibat membuat isyarat lucah, menurut pengurus England, Gareth Southgate.

Bintang Tottenham itu menjadi tumpuan selepas kemenangan 2-1 ke atas Slovakia dalam kelayakan Piala Dunia pada awal bulan lalu apabila kamera merakamnya sedang menaikkan jari tengah.

Alli kemudian mendakwa dia menghalakan isyarat itu kepada rakan sepasukan, Kyle Walker, bukannya kepada pengadil, tetapi FIFA tetap mengenakan hukuman penggantungan satu perlawanan dan denda £3,850 (RM21,000) terhadap tingkah laku itu.

Habuannya, pemain tengah menyerang itu terlepas aksi menentang Slovenia awal pagi nanti ketika England boleh menjamin kelayakan Piala Dunia, dan Southgate -- yang tidak fikir hukuman Alli tidak adil -- menegaskan pemain berusia 21 tahun itu tidak akan melakukan kesilapan sama selepas ini.

"Saya rasa ia mungkin keputusan yang adil," kata Southgate kepada pemberita dalam sidang media pra-perlawanan.

"Saya membincangkannya dengan Alli sepanjang masa. Dia mengakui tanggungjawabnya, bagaimana keadaannya akan dinilai, dan bagaimana perhatian kepadanya berubah.

"Dia tidak akan melakukannya lagi, itu pasti. Ia adalah pengalaman yang akan dipelajarinya," katanya.

Southgate bersikap positif dan berasakan pengalaman sedemikian boleh memberi manfaat kepada Alli.

"Kami mempunyai perbualan yang baik tentang banyak perkara yang berbeza," tambah Southgate.

"Jadi, fokus saya adalah kepada kesediaannya untuk perlawanan pada Isnin ini (menentang Lithuania) dan memastikan dia menyedari bagaimana kami bermain dan perkara yang kami cuba lakukan bersama pasukan.

"Semua pengalaman ini akan menjadikannya lebih baik," katanya lagi.