Pemain tengah Stoke City, Joe Allen, dijangka terlepas aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Georgia pada Ahad selepas membantu pasukannya mencatat keputusan seri 2-2 berdepan Austria.

Bekas pemain Liverpool itu bertanggungjawab membuka tirai jaringan perlawanan di Vienna -- gol kedua selepas dua penampilan di peringkat kelayakan -- sebelum dikeluarkan pada babak kedua susulan kecederaan hamstring.

Tatkala pengurus Wales, Chris Coleman, menekankan kecederaan Allen tidak serius, dia menjangkakan pemain itu tidak akan beraksi di Cardiff hujung minggu ini.

"Kami terpaksa meneruskan perlawanan tanpa khidmat Joe," katanya kepada BBC. "Kami boleh membiarkan dia bermain. Dia mengakui berasa tidak selesa, jadi kami mengeluarkan dia dan membenarkan pasukan perubatan melakukan rawatan.

"Bagaimanapun, kami enggan mengambil risiko itu kerana dia pemain Stoke, jadi kami perlu menghormati perkara itu."

Allen sedang berada di tahap terbaiknya ketika ini apabila turut meledak gol ketika berdepan Manchester United minggu lalu selepas berhijrah dari Liverpool di awal musim ini.