Masimilliano Allegri mencabar Gonzalo Higuain untuk memperbaharui sasarannya ketika mengesahkan pemain kebangsaan Argentina itu akan kembali beraksi bersama Juvenus dalam pertemuan berdepan Atalanta, hari ini.

Higuain telah diketepikan selepas mempamerkan pesembahan hambar minggu lalu ketika meraih kemenangan 4-0 ke atas Torino tetapi hadir sebagai pemain gantian untuk membuka jaringan ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Olympiacos.

Pemain berusia 29 tahun itu telah diketepikan daripada skuad Argentina kendalian Jorge Sampaoli untuk kali kedua berturut-turut bagi aksi kelayakan Piala Dunia.

Ketua jurulatih Juve, Allegri, menjelaskan kepentingan Higuain bersama-sama bintang, Paulo Dybala, tetapi menegaskan dia perlu meningkatkan persembahannya dalam aksi akan datang.

"Higuain memerlukan semangat untuk berjuang berdepan lawan seperti Real Madrid, Barcelona dan semua pasukan yang berkualiti.

"Dia mampu melakukannya, Higuain merupakan seorang pemain yang penting untuk kami.

"Pasukan memerlukan jaringan daripadanya. Higuaian akan beraksi dalam perlawanan bertemu Atalanta," kata Allegri.

Blaise Matuidi dan Rodrigo Bentacur akan mengisi bahagian tengah tetapi masih tiada lagi kepastian sama ada Juan Cuadrado akan berada dalam kesebelasan utama kerana mengalami kecederaan kaki.

Juara bertahan, Juve, berkongsi mata dengan Napoli di puncak Serie A selepas melakar kemenangan dalam kesemua perlawanan setakat ini.