"Cristiano Ronaldo perlu menjaringkan semua sepakan penalti buat Juventus untuk dimaafkan selepas memberikan igauan ngeri buat pasukan kami dalam Liga Juara-Juara Eropah musim lalu," kata ketua jurulatih Juve, Massimilioano Allegri.

Ronaldo menjaringkan penalti pada minit ke-93 yang menyingkirkan Juve dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang penuh kontroversi, April lalu.

Bintang Portugis itu kemudian menyertai Juve dan telah merekodkan 11 gol daripada 18 perlawanan, dengan yang terbaru membantu pasukan itu menewaskan Fiorentina 3-0, awal pagi tadi.

Bercakap mengenai jaringan penalti yang disumbangkan Ronaldo itu, Allegri menganggap ia sebagai satu cara untuk pemain itu dimaafkan setelah menyingkirkan pasukannya musim lalu.

"Ronaldo akan mengambil semua sepakan penalti.

"Selepas dia melakukannya ke atas kami pada minit ke-93 dengan kelajuan 139km/j, bagaimana saya mahu memberikan tanggungjawab itu kepada pemain lain?

"Dia perlu melakukan sesuatu untuk dimaafkan.

"Dia perlu menjaringkan kesemua sepakan penalti yang kami peroleh," katanya.

Ronaldo merupakan pemain Juve pertama selepas John Charles (1957-58) yang berjaya menjaringkan 10 gol dalam 14 penampilan pertama Serie A.

Juve kini berkelebihan 11 mata di puncak liga hasil 13 kemenangan.