Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, menggambarkan Cristiano Ronaldo sebagai "profesional teragung" selepas dia mengekalkan keputusan untuk merehatkan bintang Portugal itu yang menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Torino, awal pagi tadi.

Ronaldo merupakan wira Juve dalam pertembuangan "Derby della Mole" di Turin.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu menjaringkan gol ke-5,000 Juve dalam saingan Serie A menerusi kemenangan 1-0 ke atas Torino.

Jaringan penalti pada minit ke-70 itu merupakan gol ke-11 Ronaldo dalam saingan liga musim ini.

Ia turut melebarkan penguasaan Juve dengan mereka kini berkelebihan 11 mata di puncak Serie A.

Ronaldo seperti sudah serasi dengan gaya hidup Juve selepas meninggalkan Real Madrid, awal musim ini.

Namun, Allegri sedia memberikan waktu rehat buat pemain berusia 33 tahun itu.

"Ronaldo seorang pemain profesional yang hebat.

"Dia sentiasa mementingkan keperincian dalam setiap perkara.

"Itu yang membuatkannya sentiasa cergas.

"Namun, saya sudah membuat keputusan yang dia akan direhatkan dalam satu daripada perlawanan menentang AS Roma, Atalanta atau Sampdoria," katanya.

Sejak menyertai Juve dengan yuran perpindahan €112 juta (RM530 juta) awal musim lalu, Ronaldo telah menjaringkan 12 gol dalam kesemua kejohanan.

Dia kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Serie A dengan penyerang Genoa, Krzysztof Piatek, selepas 16 perlawanan.