Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, memuji persembahan Paulo Dybala ketika berdepan Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Dybala menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Juve merekodkan kemenangan 1-0 di Old Trafford, semalam.

Pemain kebangsaan Argentina itu meledak gol kelimanya dalam 10 perlawanan musim ini untuk membantu Juve mengekalkan rekod bersih dalam Kumpulan H.

"Saya berasakan Dybala beraksi cemerlang," kata Allegri.

"Dia bermain dengan baik dalam perlawanan sebelum ini. Saya merehatkan Dybala untuk aksi berdepan Genoa kerana dia mengalami kecederaan ringan sebelum ini."

Allegri menjelaskan keputusannya untuk menggantikan Dybala pada minit ke-78 adalah kerana pasukannya memerlukan lebih banyak tenaga.

"Saya berasakan pada ketika itu, pasukan memerlukan pemain yang lebih cergas. Ia memastikan kami dapat bersaing dengan United hingga tamat perlawanan," katanya lagi.