Allegri mahu kekal bersama Juventus

Oleh Penulis Jemputan 13 November 2018 117
Allegri mahu kekal bersama Juventus
Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, mendedahkan dia mahu terus bersama pasukan itu untuk tempoh yang lama selepas meraih Anugerah Pengurus Terbaik Tahunan Itali buat dua tahun berturut-turut.

Pengurus berusia 51 tahun itu membimbing Juve meraih kejuaraan Serie A buat tujuh tahun berturut-turut selain kejuaraan ke-13 Piala Itali, musim lalu.

Allegri mengetepikan saingan daripada Maurizio Sarri dan Simone Inzaghi yang turut merebut anugerah Panchina d'Oro itu.

Allegri teruja dengan kejayaan diraih pasukannya dengan mereka kini mengekalkan kelebihan enam mata di hadapan AC Milan yang tewas 2-0 dalam saingan Serie A, Ahad lalu.

Mereka juga di kedudukan terbaik dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dan berkemungkinan besar layak ke pusingan kalah mati walaupun tewas 2-1 kepada Manchester United, minggu lalu.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua kakitangan pasukan kerana tidak membiarkan saya mengalami tekanan yang tinggi dan mengekalkan saya dalam keadaan muda," katanya selepas memenangi anugerah.

"Saya berharap dapat kekal di sini untuk tempoh yang lama.

"Saya kini lebih matang.

"Pengalaman dalam Serie A telah membantu perkembangan saya.

"Objektif kami adalah untuk meraih kejuaraan liga kelapan dan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami harap nasib akan menyebelahi kami nanti.

"Tahap pasukan telah meningkat dan kami pelu mengekalkan kualiti itu.

"Dalam saingan liga, kami perlu berwaspada dengan kemampuan Napoli dan Inter Milan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen