JUVENTUS 2 SPORTING CP 1

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, percaya ketumpulan jentera serangan menjadi punca mengapa pasukannya lesu dalam kemenangan 2-1 ke atas Sporting CP dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Skuad Bianconeri itu beraksi di bawah tahap sebenar ketika berdepan Sporting yang tidak mudah mengalah selepas lawan mereka itu tanpa disangka-sangka mendahului menerusi gol sendiri Alex Sandro.

Sepakan percuma menarik daripada Miralem Pjanic memastikan kelab Itali itu menyamakan kedudukan pada minit ke-29 sebelum Mario Mandzukic menanduk masuk gol kemenangan ketika permainan berbaki enam minit untuk skuad kendalian Allegri itu mendaki ke tangga kedua Kumpulan D.

Gol Mandzukic itu merupakan peluang tunggal terbuka Juve pada separuh masa kedua, maka tidak hairanlah Allegri pantas menjelaskan pergelutan yang mereka hadapi untuk meraih kemenangan sulung itu dalam saingan Eropah musim ini.

Dia memberitahu Mediaset Premium: "Kami tidak cukup tajam tanpa beberapa pemain ketika ini. Ada pemain yang kembali dari skuad kebangsaan tidak berada dalam keadaan baik, jadi kami harus terus berusaha.

"Bukan mudah untuk menang dalam UCL, kami telah melakukan langkah ke hadapan namun perjalanan masih jauh dan kami harus cuba untuk kembali menerapkan elemen yang telah hilang.

"Kami melakukan beberapa kesilapan teknikal, terutama dalam 20 minit pertama, kemudian pada penghujung permainan, kami mengambil risiko besar berbanding hanya berpuas hati dengan kedudukan semasa.

"Buat masa ini, kami perlu mencari semula keutuhan kami. Kami mempamerkannya pada malam ini apabila Sporting menguasai bola, namun tahap kecergasan dan ketajaman kami perlu dipertingkatkan dan ia hanya dapat melakukannya menerusi latihan," katanya.