Massimiliano Allegri membidas aksi anak buahnya walaupun berjaya menundukkan SPAL 4-1 dalam saingan Serie A di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Gol daripada Federico Bernardeschi, Paulo Dybala, Gonzalo Higuain dan Juan Cuadrado membolehkan Juve berada di tempat ketiga dan terus mengekori pendahulu liga, Napoli, dengan perbezaan tiga mata.

Bernardeschi dan Dybala memberikan pendahuluan buat skuad Bianconeri dalam 22 minit pertama tetapi Alberto Paloschi berjaya merapatkan jurang dan Marios Oikonomou hampir menyamakan kedudukan jika tidak berada dalam kedudukan ofsaid.

Aksi terakhir di laman sendiri menyaksikan Juve tewas 1-2 di tangan Lazio selepas mendahului 1-0 dan Dybala gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Bagi Allegri, aksi awal pagi tadi tidak banyak perbezaannya, membuatkannya memberi amaran kepada seluruh pasukan menjelang aksi seterusnya menentang musuh tradisi, AC Milan, Sabtu ini.

"Jika kami bermain seperti ini, kami bakal tewas di San Siro di tangan Milan. Kami masih belum memperbaiki tahap konsentrasi dan persembahan walaupun berjaya menjaringkan gol yang hebat.

"Juve meletakkan diri dalam situasi bahaya dan SPAL mengaut peluang tersebut. Kami harus sentiasa seimbang dalam setiap perlawanan untuk mengekalkan kejuaraan," kata Allegri.

"Saya berharap ini adalah kali terakhir saya melempar jaket ke atas padang."