FIORENTINA 0 JUVENTUS 3

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, melabel pasukannya itu sebagai "juara terhebat" sebaik meraih kemenangan 3-0 ke atas Fiorentina dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.


Kemenangan itu menyaksikan mereka kini berkelebihan 11 mata di kedudukan teratas liga.

Juventus di depan dalam babak pertama menerusi jaringan Rodrigo Bentancur, namun Fiorentina memperoleh deretan peluang yang gagal disempurnakan.

Georgio Chiellini menjaringkan gol pertamanya dalam tempoh dua tahun untuk memastikan Juventus selesa di depan dalam babak kedua.

Cristiano Ronaldo menyudahkan jaringan penalti pada lewat permainan untuk dia merekodkan gol liganya yang ke-10 bersama Juventus, sekali gus melebarkan jurang mata buat La Vecchia Signora ke atas pencabar terdekat, Napoli.

Kemenangan di Florence itu meneruskan minggu cemerlang Juventus selepas mengesahkan tempat dalam saingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu.

Kecemerlangan itu jelas melegakan Allegri yang memuji persembahan yang dipamerkan pasukannya.

"Pasukan ini dipenuhi juara dan pemain yang berperwatakan.

"Untuk menang, kami perlu mempunyai keinginan untuk menjadi lebih baik, meraih lebih banyak kejayaan, malu untuk menjadi pasukan biasa dan pemain-pemain saya mempunyai kesemua itu.

"Saya menekankan untuk mereka beraksi kompak dan mereka melakukannya dengan sangat baik.

"Kami hanya memberikan lawan menguasai babak kedua selama 10 minit.

"Kami kental bertahan dan sepatutnya meraih jaringan kedua lebih awal.

"Bagaimanapun, ia satu persembahan yang baik. Mereka mula mengenali antara satu sama lain.

"Kami mempunyai rangkaian pemain yang baik, kami perlu memanfaatkan situasi itu," katanya.

Dengan kecederaan yang dialami Miralem Pjanic dan Sami Khedira, Allegri memberikan peranan utama kepada Juan Cuadrado.

"Dia bakal menjadi penyelesaian kami pada masa akan datang.

"Juan seorang pemain yang dinamik dan mempunyai perwatakan untuk beraksi di bahagian sayap," tambahnya.