Massimiliano Allegri memuji Juventus kerana memiliki "DNA kemenangan" apabila juara Itali itu bersiap untuk berdepan Sporting CP dalam Kumpulan D, Liga Juara-Juara Eropah di Lisbon, esok.

Kemenangan 2-1 ke atas Sporting di laman sendiri, 19 Oktober lalu, mencetus kepada empat kemenangan berturut-turut menuju ke pertembungan di Lisbon, di mana Juve akan mara ke pusingan 16 terakhir selagi Barcelona juga mengelakkan kekalahan di Olympiacos.

"Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan," kata Allegri dalam sidang media sebelum perlawanan. "Juventus memiliki DNA kemenangan."

"Perlawanan ini akan menjadi sukar. Sporting adalah skuad yang baik dan kami perlu mendapat keputusan positif.

"Ia akan menjadi hadiah untuk kami, untuk peminat kami dan untuk semua di kelab (mencapai pusingan 16 terakhir).

"Kami tahu kemenangan di sini akan memberi peluang untuk kami terus mara. Tetapi seri juga akan memastikan kami berada di landasan yang betul," katanya.

Penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon, yang berada di sebelah Allegri dalam sidang media, mengulas mengenai penjaga gol lawan yang juga pemain antarabangsa Portugal, Rui Patricio.

"Dia penjaga gol yang sangat baik," katanya. "Dia melakukan tugas yang menakjubkan dalam Euro 2016."

Kapten Juve, Buffon, menambah: "Kami semakin banyak memperbaiki sebagai satu pasukan, kami mesti mengendalikan perlawanan esok dengan bijak dan bertindak balas sewajarnya apabila keadaan menjadi sukar. Sporting adalah pasukan yang sangat baik."