Penjaga gol, Alisson, memuji Roberto Firmino selepas penyerang itu menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Flamengo 1-0 dan meraih kejuaraan Piala Dunia Kelab di Doha, Qatar awal pagi tadi.

Firmino menjaringkan dua gol kemenangan sepanjang kejohanan itu untuk juara Eropah berkenaan meraikan kejuaraan dunia pertama mereka.

Pemain berusia 28 tahun itu kerap menimbulkan persoalan kerana kurang menjaringkan gol -- hanya menjaringkan enam gol musim ini -- tetapi rakan senegaranya dari Brazil, Allisson, menjelaskan mengenai kepentingan pemain itu.

"Kami dan dia tahu kepentingannya kepada pasukan.

"Dan kami amat menghargainya.

"Saya fikir dia antara pemain yang amat penting buat kami.

"Dia bukan sahaja menjaringkan gol, dia turut melakukan bantuan gol.

"Dia membantu pasukan untuk bermain dari bawah dan dia banyak membantu kami untuk melakukan perubahan.

"Kami amat gembira dan saya amat gembira kerana dia menjaringkan gol.

"Amat penting untuk penyerang menjaringkan gol dan saya amat gembira untuk semua orang dengan kejayaan ini," katanya.

Liverpool memerlukan masa tambahan untuk menewaskan Flamengo dengan jaringan Firmino itu hanya tiba pada minit ke-99.

Divock Origi, yang menggantikan Firmino dalam masa tambahan, turut memuji rakan penyerangnya itu.

"Bobby pemain yang luar biasa. Dia membuktikannya sekali lagi.

"Bagi saya, penyudahnya itu memang berkelas tinggi dan membantu kemenangan kami.

"Saya memberitahunya selepas tamat perlawanan, saya amat gembira untuknya," katanya.

Liverpool, yang mendahului Liga Perdana Inggeris dengan 10 mata dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, akan berkunjung ke laman pencabar terdekat, Leicester City, Khamis ini.