Alisson isytihar pulih '100 peratus'

Oleh Ammar Hakim 27 Oktober 2020 116
Alisson isytihar pulih '100 peratus'
Alisson telah mengisytiharkan dirinya 'cergas 100 peratus' setelah menentang prognosis awalnya selama enam minggu di bangku simpanan dengan membuat penampilan semula bersama Liverpool minggu lalu.

Pemain antarabangsa Brazil itu mengalami kecederaan bahu ketika menjalani latihan menjelang aksi berdepan Aston Villa 4 Oktober lalu, yang mana juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas 7-2 semasa ketiadaannya.

Dia juga sekadar menyaksikan keputusan seri 2-2 dengan Everton dan kemenangan 1-0 ke atas Ajax dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) tetapi kembali beraksi ketika menang 2-1 ke atas Sheffield United.

Alisson dijangka turun bertemu juara Denmark dalam aksi UCL Midtjylland di Anfield dan berterima kasih kepada staf yang membantunya untuk mempercepatkan proses pemulihan, beberapa minggu lebih awal berbanding jadual yang telah ditetapkan.

"Pertama sekali saya sangat gembira kerana kembali beraksi," katanya.

"Saya berusaha memberikan yang terbaik dan saya mempunyai ahli fisioterapi terbaik bersama saya, membantu saya untuk mempercepatkan proses pemulihan.

"Sebaik sahaja doktor mengatakan itu adalah empat hingga enam minggu, saya berkata, 'Tidak, Doktoer, saya perlu pulih dalam tempoh dua atau tiga minggu maksimum.' Dia bersetuju dan kami menjalani proses pemulihan.
 
"Saya sangat gembira kerana kembali beraksi. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada ahli fisio, kakitangan kecergasan, doktor dan jurulatih penjaga gol yang membantu saya.

"Setiap kecederaan yang anda alami pada ligamen -- bahu, buku lali atau lutut -- anda akan berasakan sesuatu yang ganjil. Bukan sakit tetapi ganjil."


 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen