Trent Alexander-Arnold gembira jika Jadon Sancho menyertai Liverpool sambil berkata bintang Borussia Dortmund itu memiliki bakat yang luar biasa.

Sancho, 20, dikaitkan untuk kembali menyertai Liga Perdana Inggeris dengan Manchester United dilaporkan sebagai pasukan pendahulu untuk membawa pulang pemain kebangsaan England itu.

Bagaimanapun, rakannya dalam skuad kebangsaan, Alexander-Arnold, berbesar hati jika dapat bergandingan dengan Sancho, yang menyertai Dortmund daripada Manchester City pada 2017, di peringkat kelab.

"Jika dia datang menyertai kami, dia akan menjadikan pasukan kami lebih baik," kata pertahanan kanan Liverpool itu kepada Michael Dapaah dalam satu perbualan Instagram Live.

"Jadi, saya lebih daripada gembira untuk dia datang ke sini kerana saya bermain berasamanya di England dan dia bakat yang amat-amat luar biasa."

Sancho menikmati musim yang luar biasa sebelum kempen musim ini ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Penyerang itu telah menjaringkan 14 gol dan 15 bantuan jaringan dalam 23 perlawanan Bundesliga sebelum musim ini dihentikan.