Pertahanan Juventus, Alex Sandro, diuji positif koronavius, demikian diumumkan kelab Serie A itu semalam.

Pemain kebangsaan Brazil itu -- yang beraksi ketika pasukannya menewaskan Udinese 4-1 di Turin hujung minggu lalu -- menjalani ujian selepas menunjukkan "gejala ringan" menurut Juve.

Dia kini sedang menjalani pengasingan kendiri selepas disahkan dijangkiti COVID-19 dan menimbulkan kegusaran buat kelabnya menjelang pertemuan penting dengan AC Milan awal pagi Khamis ini.

"Juventus mengumumkan bahawa susulan menunjukkan beberapa gejala ringan, satu ujian telah dijalankan buat pemain kami, Alex Sandro, yang kemudian mendedahkan bahawa dia positif COVID-19," kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

"Pemain itu sudah ditempatkan dalam pengasingan.

"Kelab ini sedang berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan bagi mendapatkan implementasi efektif terhadap protokol yang diperlukan bagi membenarkan sesi latihan dan aktiviti kejohanan pasukan ini."

Alex Sandro bermain selama 83 minit ketika berdepan Udinese sebelum digantikan dengan Gianluca Frabotta ketika kedudukan 3-0.

Pemain berusia 29 tahun itu telah melakukan tujuh penampilan di bawah kendalian Andrea Pirlo sepanjang musim 2020-21 selain diturunkan sebanyak tiga kali dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Juve akan bertandang ke San Siro bagi menentang Milan -- pendahulu Serie A dengan rekod tanpa kalah -- sebelum bertemu Sassuolo hujung minggu ini.