Thiago Alcantara dilaporkan semakin hampir melengkapkan perpindahannya daripada Bayern Munich ke Liverpool.

Stats Perform News berkata The Reds telah bersetuju dengan kesepakatan bernilai £25 juta (RM133.7 juta) untuk menandatangani Thiago daripada juara Bundesliga itu.

Apatah lagi pengendali gergasi Bavaria itu, Hansi Flick, sudah pun mengucapkan perpisahan buat pemain berkenaan.


Pemain kelahiran Sepanyol warisan Brazil itu dijangka menandatangani kontrak selama empat tahun dan menyarung jersi nombor enam di Anfield, sekali gus mengakhiri pemburuan Liverpool yang sekian lama mengidamkan sentuhan pemain tengah berbakat itu.

Pemain berusia 29 tahun itu dikhabarkan menjadi sasaran utama Jurgen Klopp sebelum jendela perpindahan dibuka dengan pengurus Liverpool itu bercita-cita menyuntik kreativiti di bahagian tengah pasukannya.

Liverpool difahamkan telah bersetuju untuk memberi pendahuluan sebanyak £20j untuk menebus kontrak pemain itu di Allianz Arena yang masih bersisa setahun lagi, £5j (RM26.7j) selebihnya merupakan bayaran tambahan sekiranya pencapaian tertentu berjaya direalisasikan.

Selepas digilap Barcelona sebagai pemain tengah menyerang, Thiago memainkan peranan lebih ke bawah dalam beberapa musim kebelakangan ini dan merupakan tunjang kepada tiga kejuaraan yang diraih Bayern pada musim 2019-20.

Secara keseluruhan, Thiago telah membuat 235 penampilan sepanjang tujuh musim bersama jaguh Bundesliga itu dengan menyumbangkan 31 gol selain mencipta 35 bantuan jaringan.

Dia membantu Bayern untuk tujuh gelaran Bundesliga berturut-turut, empat kemenangan DFB-Pokal dan satu kemenangan Liga Juara-Juara.