Hansi Flick mendedahkan Thiago Alcantara ditimpa kecederaan otot menjelang kunjungan Bayern Munich ke Borussia Dortmund untuk pertembungan 'Der Klassiker', empat hari lagi.

Pemain tengah Sepanyol itu memainkan peranan penuh ketika pendahulu saingan Jerman berkenaan menundukkan Union Berlin 2-0 hujung minggu lalu untuk aksi pertama Bundesliga sejak ia terhenti akibat novel koronavirus (Covid-19), Mac lalu.

Namun, pengurus sementara itu mengesahkan pemain berusia 29 tahun berkenaan mengalami masalah otot yang menyebabkan kelibatnya dalam keraguannya untuk pertembungan dengan Eintracht Frankfurt, esok.

Meskipun belum mahu mengetepikan Thiago ketika bertemu Dortmund, beliau percaya pertemuan itu boleh menjadi penentu dalam perebutan gelaran.

Membincangkan masalah kecederaan Bayern dalam sidang akhbar semalam, Flick memberitahu wartawan: "Serge Gnabry kelihatan baik.

"Tetapi mengenai Thiago, kami harus tunggu. Kami berharap mereka berdua dapat bersama kami. Kami akan mengejar ketinggalan.

"Jika tidak, keadaannya sama seperti minggu lalu."



Arkitek di bahagian tengah padang itu hanya terlepas tiga aksi daripada 26 perlawanan Bundesliga setakat ini untuk kelab yang berpangkalan di wilayah Bavaria itu kekal di puncak dengan empat mata di hadapan Dortmund.

Mereka juga mengekalkan rekod tanpa dibolosi sepanjang tiga perlawanan berturut-turut sungguhpun tidak memiliki khidmat pertahanan tengah, Niklas Sule, sejak Oktober lalu akibat kecederaan lutut.

Tonggak antarabangsa Jerman itu masih berharap sempat terlibat sebelum kempen musim ini berakhir, namun Flick mengambil pendekatan berhati-hati.

"Kami tidak mahu terburu-buru," tambahnya.

"Niklas telah menyatakan hasratnya untuk beraksi lagi musim ini. Kami masih perlu melihat sejauh mana kestabilan lututnya."