Alcantara: Bayern Munich seperti di laman sendiri 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 September 2020 384
Alcantara: Bayern Munich seperti di laman sendiri 
Thiago Alcantara memberi bayangan bahawa dia tidak semestinya akan meninggalkan Bayern Munich.

Perancang kreatif Sepanyol itu unggul di bawah kendalian Hansi Flick ketika Bayern menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) bagi melengkapkan tiga kejuaraan musim lalu. 

Pemain tengah berumur 29 itu akan bebas daripada kontrak Jun tahun depan dan semakin hangat dikaitkan akan menyertai Liverpool.

Selepas melengkapkan 97 dari 104 hantaran ketika Sepanyol seri 1-1 dengan Jerman dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah di Stuttgart, awal pagi tadi, dia berkata: "Bayern adalah kampung halaman saya dan saya gembira berada di sana.

"Saya hanya memikirkan perlawanan (Sepanyol) menentang Ukraine. Selepas itu kita akan lihat."

Sejak tiba dari Barcelona pada 2013, Thiago telah membuat 235 penampilan bersama Bayern dengan menjaringkan 31 gol.

Hujung minggu lalu, Ketua Eksekutif (CEO) Bayern, Karl Heinz-Rummenigge, mengulas mengenai Thiago: "Dia kelihatan seperti meninggalkan kami. Saya menjangkakan tawaran terhadapnya akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang."

 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen