Penyerang Borussia Dortmund, Paco Alcacer, mengakui dia meninggalkan Barcelona untuk ke Jerman bagi membuatkan dia gembira beraksi selepas melalui tempoh sukar di Camp Nou.

Sejak tiba di Bundesliga secara pinjaman Ogos lalu, Alcacer mempamerkan taring apabila muncul selaku pemain kedua selepas Gert Dorfel yang menyumbat enam gol dalam tiga aksi awal liga.

Pencapaian cemerlang itu termasuk catatan hatrik selaku pemain gantian sewaktu menundukkan Augsburg 4-3 Sabtu lalu, yang membolehkan pemain berusia 25 tahun itu menerima panggilan skuad kebangsaan Sepanyol untuk aksi bulan ini berdepan Wales dan England.

Bekas pemain Valencia itu mengakui dia sudah sampai ke tahap di mana perlu meninggalkan Barca setelah hanya tampil 14 kali dalam kesebelasan utama pasukan bagi tempoh dua tahun.

"Akhirnya, satu keputusan perlu dibuat," kata Alcacer.

"Berada di Barcelona selama beberapa tahun, tidak mendapat tempat, ia bukan sesuatu yang saya inginkan.

"Saya membuat keputusan untuk mendapatkan waktu beraksi di tempat lain. Pemain dengan keyakinan semestinya lebih baik. Saya meninggalkan pasukan untuk berasa gembira.

"Keputusan yang mampu dibuat, saya lakukan. Perbualan dengan pengendali Barca, Ernesto Valverde, adalah sesuatu yang peribadi dan saya mahu mendapatkan aksi di tempat lain. Di Barca, sukar untuk beraksi di samping Luis Suarez, Lionel Messi dan Ousmane Dembele."

Dalam masa sama, Alcacer juga memberikan pujian buat rakan sepasukan di Dortmund selepas membantunya untuk pantas menyesuaikan diri.

"Seluruh pasukan membantu saya sejak hari pertama.

"Saya berdepan kesukaran dengan bahasa dan perubahan yang berlaku tetapi mereka menjadikannya mudah buat saya, membolehkan saya menyesuaikan diri dengan baik."