BARCELONA 2 SEVILLA 1

Penyerang Barcelona, Paco Alcacer, membalas kepercayaan yang diberikan oleh Ernesto Valverde apabila menyumbat dua gol untuk membolehkan Barca menewaskan Sevilla 2-1 dalam aksi LaLiga di Camp Nou, awal pagi tadi.


Alcacer dinamakan dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang Real Betis, Ogos lalu.

Bermain di hadapan penyokong sendiri, anak-anak buah Valverde memulakan asakan sejak wisel permulaan ditiupkan.

Lionel Messi, yang melakukan penampilan ke-600 buat skuad Blaugrana, melakukan percubaan awal tetapi digagalkan oleh penjaga gol, David Soria, sebelum usaha Sergio Busquets berjaya dinafikan oleh benteng Sevilla di atas garisan gol.

Luis Suarez juga gagal meletakkan Barca di depan apabila lambungan bola yang dilakukannya sekali lagi dinafikan oleh Soria pada minit kelima sebelum percubaan Ivan Rakitic dua minit kemudian sedikit tersasar.

Bagaimanapun, Alcacer mencuri tumpuan apabila kesilapan Sergio Escudero yang gagal menampan bola dengan kemas membolehkan penyerang berusia 24 tahun itu melepaskan sepakan leret menewaskan Soria.

Usaha pelawat untuk menyamakan kedudukan hanya diperoleh dalam babak kedua menerusi pemain tengah, Guido Pizarro.

Sepakan sudut dari sebelah kanan oleh Ever Banega disambut baik dengan tandukan daripada Pizarro yang tidak dikawal untuk kembali mengikat kedudukan 1-1.

Gerard Pique hampir meletakkan Barca kembali di depan selepas melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-62, namun percubaannya sekadar singgah ke palang gol.

Bagaimanapun, kedudukan 1-1 tidak bertahan lama apabila Alcacer sekali lagi mencatat nama dalam senarai penjaring tiga minit kemudian.

Alcacer yang berada di dalam kotak penalti bijak melepasi kawalan Simon Kjaer sebelum menyudahkan hantaran lintang Ivan Rakitic dari sebelah kanan untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Aksi selepas itu menyaksikan skuad bimbingan Valverde lebih banyak mengamalkan kawalan bola di tengah padang dan kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Barcelona kini terus unggul di puncak liga dengan 31 mata, diikuti Valencia (27) dan Atletico Madrid (23).