BARCELONA 0 SLAVIA PRAGUE 0

Barcelona mengesahkan Jordi Alba mengalami masalah di bahagian paha berulang kali sewaktu aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Slavia Prague, awal pagi tadi.


Alba dikeluarkan sewaktu rehat ketika aksi 0-0 di Camp Nou tatkala Sergi Roberto dibawa masuk menggantikan tempat bek kiri itu.

Pemain Sepanyol, Alba, diketepikan selama beberapa minggu akibat kecederaan paha ketika permulaan musim ini dan Barca mendedahkan pemain berusia 30 tahun itu telah menderita masalah sama yang kerap berulang.

Barca yang mengesahkannya menerusi laman Twitter rasmi kelab tidak memberi bayangan tempoh Alba akan kembali.

"Ujian yang dijalankan menunjukkan Alba mengalami masalah kecederaan di bahagian paha kiri. Dia terpaksa diketepikan dan proses pemulihannya akan menentukan tahap persediannya," kata wakil kelab.

Keputusan seri yang diraih Barca menyaksikan skuad kendalian Ernesto Valverde itu gagal meraih kemenangan dalam dua aksi terakhir dan mereka dilihat bersedia untuk beraksi tanpa Alba dalam saingan LaLiga berdepan pasukan yang sedang bergelut, Celta Vigo.