Pertahanan Barcelona, Jordi Alba, menyifatkan tindakan kelabnya mendiamkan diri mengenai tawaran kontrak baru sebagai sesuatu yang janggal.

Pemain berusia 29 tahun itu bakal mengakhiri kontrak sedia ada pada 2020 tetapi sehingga kini masih belum bercakap dengan juara LaLiga itu mengenai sebarangpembaharuan.

Alba yang menyertai Barca daripada Valencia pada 2012 mahu menamatkan kariernya di Nou Camp tetapi masih belum pasti sama ada pihak kelab dapat melihat kemahuannya itu.

Bercakap selepas Barca diikat seri 1-1 oleh Atletico Madrid kelmarin, Alba berkata: "Saya tiada sebarang perkhabaran.

"Saya tidak tahu apa yang kelab fikirkan tentang saya dan ia janggal kerana kontrak sedia ada bakal tamat.

"Harapan saya adalah untuk menamatkan karier di sini tetapi perlu dilihat nanti memandangkan saya tidak tahu apa yang cuba dilakukan oleh kelab atau bila waktu yang sesuai untuk mereka menghubungi saya."