Alvaro Morata akan dialu-alukan di Barcelona jika penggempur itu tiba di kelab itu dari Chelsea, kata pertahanan, Jordi Alba.

Morata, 26, dikaitkan dengan perpindahan mengejut ke gergasi LaLiga itu bulan depan tatkala dia terus bergelut di Stamford Bridge.

Alba, yang merupakan rakan sepasukannya dalam kem Sepanyol, berkata dia gembira sekiranya bekas tonggak Real Madrid dan Juventus itu menyertai Barca.

"Morata adalah pemain yang saya amat hargai. Dia merupakan pemain berkelas tinggi selama bertahun-tahun kebelakangan ini," katanya dalam sidang media.

"Segalanya terpulang kepada kelab jika mereka mahu menandatanganinya atau tidak, sama seperti mana-mana pemain yang lain.

"Jika khabar angin itu benar, dia akan disambut baik seperti mana yang diberikan kepada muka baru."

Morata hanya merekodkan tujuh gol dalam 21 pertlawanan bersama Chelsea musim ini selepas meledak 15 gol daripada 48 perlawanan pada musim sebelumnya.