Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dianugerahkan 'Permata Asia AFC' yang berprestij sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda selama lebih tiga dekad terhadap bola sepak di benua ini.

Anugerah tertinggi bola sepak Asia itu disampaikan kepada Al-Sultan Abdullah oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, di Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah merupakan penerima ke-15 untuk mengikut jejak penerima 2011, almarhum ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, muncul satu-satunya gabungan ayah dan anak lelaki yang menerima anugerah tertinggi itu dalam sejarah bola sepak Asia.

Dikenali sebagai salah satu suara yang paling progresif dalam bola sepak Malaysia dan Asia, AFC menegaskan bahawa Seri Paduka teguh dalam menegakkan keutuhan permainan dan meletakkan asas dalam usaha menentang manipulasi perlawanan ketika baginda menyandang jawatan timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2004.

Al-Sultan Abdullah terus berkhidmat sebagai naib presiden sehingga tahun 2007 dan sekali lagi, dari 2010 hingga 2014 sebelum memegang jawatan presiden pada 2014, yang menyaksikan baginda memperkenalkan pelbagai program komprehensif untuk meningkatkan dan membangunkan sukan itu di negara ini.