Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, berkata ia teramat-amat sukar untuk menerima penyingkiran kelab itu daripada Liga Juara-Juara berikutan kekalahan mereka kepada Barcelona yang kini menjadi satu rekod.

Al-Khelaifi kelihatan sugul selepas perlawanan itu sesudah PSG menyerahkan pendahuluan 4-0 dalam perlawanan peringkat pertama sambil juara Perancis itu mengalami kekalahan 6-1 dalam perlawanan timbal balik pusingan 16, awal pagi tadi.

Barca menyumbat tiga gol dari minit ke-88, termasuk gol kemenangan pada minit kelima masa kecederaan menerusi Sergi Roberto, ketika pasukan tuan rumah Sepanyol itu menyempurnakan kebangkitan terhebat dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Al-Khelaifi mengeluh terhadap prestasi PSG dalam separuh masa pertama setelah memasuki bilik persalinan ketika rehat dengan ketinggalan 2-0 dan kelihatan tenggelam punca.

“Sekalipun jika kami sepatutnya mendapat dua sepakan penalti, kami tidak akan mencari-cari alasan. Kami tidak bermain dalam separuh masa pertama,” kata Al-Khelaifi.

"Selepas menang perlawanan pertama 4-0, adalah sukar untuk menerima kekalahan 6-1 dalam perlawanan kedua, tapi kami tiada pilihan.

“Selepas kemenangan kami dalam perlawanan pertama, sasaran untuk mara ke suku akhir adalah sesuatu yang sahih tapi kami tahu dalam bola sepak, itu tidak bermakna apa-apa.

"Kami cuba melakukan yang terbaik. Kami tidak mampu untuk terus mara tapi kami akan meneruskan. Untuk bolos tiga kali dalam tujuh minit ketika kami ketinggalan 3-1 selepas 88 minit adalah sangat-sangat sukar.

"Saya belum lagi bercakap dengan pemain-pemain, ia bukanlah masa yang tepat. Semua orang berasa sakit hati, itu adalah biasa. Kami akan mententeramkan diri kami sendiri.”

Ketua jurulatih PSG, Unai Emery, turut bermurung selepas perlawanan sambil meratapi satu peluang yang terlepas.

“Buat semua orang di Paris Saint-Germain, staf, pemain dan penyokong, ia satu hari yang buruk. Apa yang berlaku di atas padang adalah satu pengalaman negatif,” kata Emery.

"Secara individu, kami terlepas satu peluang baik untuk membesar. Kami mahu membesar bersama permainan ini.

“Dalam separuh masa pertama, kami tidak bermain dengan sikap yang kami mahukan. Kami mahu meneruskannya seperti dalam perlawanan pertama.

“Kami mahu bertahan dan mengenakan mereka dalam serangan balas. Selepas gol ketiga itu, pasukan adalah lebih baik. Kami mahu mendapatkan keputusan lebih baik dengan menjaringkan gol kedua.

“Dalam lima minit, kami kehilangan segala-galanya. Kami tidak mampu mempertahankannya. Ia satu pengalaman, satu pengalaman negatif.

“Saya belajar untuk masa depan. Adalah jelas kami telah melepaskan satu peluang baik,” hujah Emery lagi.