URAWA RED DIAMONDS 0 AL-HILAL 2
(Al-Hilal menang dengan agregat 3-0)

Al-Hilal mendakap gelaran Kejohanan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) buat julung kalinya selepas jaringan Salem Al Dawsari dan Bafetimbi Gomis membenam Urawa Red Diamonds 2-0 untuk mengesahkan kemenangan dengan agregat 3-0.


Gol Andre Carrillo dalam babak kedua pertemuan pertama memberikan kelebihan buat kelab Arab Saudi itu membawa bekalan menjelang pertemuan di Stadium Saitama malam tadi sementara Diamonds pula memburu gelaran ketiga.

Biarpun menguasai separuh masa pertama, Urawa gagal memecah kebuntuan perlawanan untuk Al-Hilal membalas dendam kekecewaan dalam perlawanan akhir edisi 2017.

Kualiti yang dimiliki Al-Hilal akhirnya membawa hasil dalam separuh masa kedua -- Al Dawsari dan Gomis meledak jaringan pada lewat permainan (minit ke-74 dan 90) -- untuk mereka meraih gelaran pertama selepas tiga percubaan final.

Al Dawsari, yang dibuang padang dalam pertemuan 2017, dua kali hampir meletakkan Al-Hilal di hadapan pada awal permainan tetapi Urawa pantas menguasai perlawanan -- usaha Takahiro Sekine sempat dipatahkan sebelum percubaan Takuya Aoki tersasar.

Shusaku Nishikawa, yang kembali menjaga gawang selepas digantung dalam pertemuan pertama manakala kesilapan penggantinya, Haruki Fukushima, membenarkan jaringan Carrillo, hampir memberikan Al-Hilal gol pembukaan ketika menepis sepakan penjuru tetapi bola singgah di kaki Jang Hyun-soo, namun dia dapat mematahkan sentuhan penyudah pertahanan tersebut.

Nishikawa sekali lagi bertindak cemerlang dengan menafikan percubaan Gomis tetapi akhirnya sukar untuk berbuat apa-apa bagi menghalang jaringan Al Dawsari.

Giovinco mencipta gerakan gol itu apabila pantas melakukan hantaran kepada Al Dawsari, yang tidak membuat sebarang kesilapan dengan penyudah yang tenang.

Dengan gelaran sulung semakin menghampiri, Al-Hilal menambah satu lagi jaringan dalam masa pemberhentian apabila Gomis memuktamadkan kejayaan mereka dengan bergaya.