Sabah menamatkan aksi pramusim di Indonesia dengan keputusan seri apabila terikat 2-2 ketika menentang Persela Lamongan dalam saingan terakhir peringkat kumpulan kejohanan Piala Gabenor Jawa Timur di Stadium Kanjuruhan di Malang, petang tadi.

Tampil dengan kesebelasan utama yang dibarisi pemain simpanan, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Alto Linus pada minit kedua.

Bagaimanapun, Persela tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Ryan Wiradinata meledakkan gol penyamaan, dua minit kemudian.

Selepas dua kekalahan berturut-turut dalam kejohanan itu, persembahan skuad Tambadau hari ini tampak lebih meyakinkan walaupun merehatkan kebanyakan tonggak utamanya.

Babak kedua juga menyaksikan Sabah sekali lagi berada di depan menerusi jaringan Hector Omar Ramos pada minit ke-71 bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, kelalaian barisan pertahanan mengakibatkan mereka kempunan untuk mencatat kemenangan apabila pemain Persela, Uasmin Mecinovic, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83 bagi menjadikan kedudukan 2-2 dan ianya kekal sehingga tamat permainan.


Editor: Nafis Abdullah