Stefano Pioli memuji aksi serba boleh Rafael Leao selepas pemain Portugis itu menjaringkan dua gol ketika AC Milan menewaskan Spezia 3-0 dalam perlawanan Serie A di San Siro awal pagi tadi.

Milan bergelut sepanjang babak pertama ketika berdepan pendatang baru Serie A itu tetapi dua gol daripada Leao di antara jaringan gemilang Theo Hernandez memastikan skuad Rossoneri itu merekodkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan domestik musim ini.

Pioli sebelum ini menjangkakan Leao akan "meledak' musim ini selepas pemain berusia 21 tahun itu menjaringkan enam gol dalam 12 penampilannya selaku barisan utama Milan musim 2019-20.

Leao bermain selaku pemain sayap dalam perlawanan menentang Spezia itu tetapi kerap menukar peranannya selaku penyerang tengah dan aksi serba bolehnya itu memikat hati Pioli untuk memanfaatkannya sepanjang musim ini.

"Saya gembira dengan persembahannya," kata ketua jurulatih Milan itu dalam sidang media.

"Dia bekerja keras sepanjang beberapa hari ini tetapi dia sudah bersedia dan beraksi baik sebagai seorang pemain sayap dan penyerang tengah.

"Ia membenarkan saya untuk mempunyai banyak pilihan dalam kalendar yang padat ini.

"Dia cukup menyedari bahawa dia tidak berada di tahap 100 peratus tetapi kualitinya untuk melakukan yang terbaik telah membantu pasukan ini," katanya.